15 October 2012

Warqah 8: Hidangan Langit

Pada satu ketika, aku terbayangkan tentang penghayatan solat.. Segalanya bermula ketika ku menghayati Surah Al-Fatihah yang dibaca ketika solat. Kenapa setiap rakaat wajib surah penghulu ini? Bagaimana pula tentang bacaan lain?


Daripada Abu Hurairah Radiyallahu'anhu, Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam bersabda: "Tiada ada suatupun yang lebih mulia di sisi Allah Ta'ala melainkan doa." [Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah]



Noktah Pertama: Doa Permohonan


Ada satu waktu, kuterbayangkan pada maksud surah al-Fatihah. Lalu kenangkan ayat-ayat iftah solat ini. Setelah direnungkan, Surah al-Fatihah boleh diangkat sebagai sebuah doa.. Ayuh! Jom kita tengok maksudnya:


Lihatlah! Kita renungkan semula terjemahannya. Surah ini dibuka dengan segala puji-pujian bagi Allah SWT. Kemudian pujian ini beralih menjadi pemohonan agar diberikan kebaikan. Sebagai contohnya, "Tunjukilah kami jalan yang lurus" (1:6). Maka boleh difahamkan bahawa kita telah memohon agar sentiasa disinari dengan rahmat hidayah dari Ilahi. Jika dilihatkan kepada semua doa yang kita kerap baca, doa-doa tersebut dibuka dengan puji-pujian pada Allah AW sebelum diikuti dengan pemohonan. Maka dengan itu, bukankah surah ini adalah ibarat sebuah doa yang kerap dibaca? Doa adalah lebih berkat jika kita fahami dan hayati. Maka tiada akan jadi sikap menyegerakan doa. Ingat pada satu hadis; 
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi ﷺ bersabda: Allah sentiasa memperkenankan doa seseorang hamba selama doa itu tidak mengandungi ( perkara ) dosa, ( perkara yang ) memutuskan silaturahim dan selama tidak meminta supaya cepat-cepat diperkenankan. Lalu seseorang tanya baginda: “Apa maksudnya meminta dicepatkan?” Jawab Baginda: “Umpamanya seseorang itu berkata dalam doanya: “Aku berdoa, aku berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu aku putus asa dan berhenti berdoa.” (Riwayat Muslim)

Bukankah lebih afdal jika fahami apa yang ingin dipohon? Doa akan lebih termakbul jika difahami. Allah Azzawajalla telah berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu" (Ghaafir 40:60)

Memang sahih doa tersedia yang dibaca semestinya memohon kebaikan. Imaginasiku terbayangkan; ibarat kita nak cakap dengan orang perancis.
Kerana tidak pandai cakap bahasa perancis, habis segala macam bahasa perancis yang kita boleh bayangkan dicampakkan kepada seorang berbangsa perancis tetapi kita sendiri tak pandai cakap bahasa perancis. Bayangkan kita nak meminta pertolongan Tetapi bagaimana jika kita hanya nak minta tolong memadam api tetapi ayat yang diberikan memohon pertolongan minta duit? Lalu beliau mengeluarkan beg wangnya dan beri duit kerana kita cakap nak minta duit. Begitu juga dalam doa. Maka, adalah lebih afdal jika diri fahami apa yang dipohon.

Noktah Kedua: Ibadah Kesyukuran

Pada saat satu masa aku pergi solat maghrib di surau. Ketika solat, sudah tentunya aku cuba hayati Surah Al-Fatihah ketika dibaca kerana memahaminya. Ada aku merasa pilu tiap kali membaca surah ini. Memuji-muji kebesaran Allah dan memohon kasih sayangnya. Apabila mula-mula menunaikan solat, kita memulakannya dengan segala yang wajib iaitu Takbir, اللهُ اَكْبَر (Allah Maha Besar). Kemudian, aku cuba hayati kalimah lain yang dibaca ketika solat. Antaranya:

1. Rukuk:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ وَبِحَمْدِهِ
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.


3. I'tidal
Berdiri selepas rujuk

سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَه
Allah mendengar pujian orang yang memujiNya.

Sebelum sujud. 

رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ
Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

3. Sujud 
  سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Tinggi dengan segala puji-pujianNya.

4. Duduk antara dua sujud
رَبِّ اِغْفِرْلِي وَارْحَمْنِيْ وَارْفَعْنِيْ وَاجْبُرْنِيْ وَارْزُقْنِيْ وَاهْدِنِيْ وَعَاِفِنيْ وَاعْفُ عَنِّيْ
“Ya Allah ! Ampunilah dosaku, belas kasihanilah aku, angkatlah darjatku, cukuplah segala kekuranganku, berilah rezeki kepadaku, berikanlah aku petunjuk, dan sihatkanlah aku, dan berilah keampunan padaku..”

Lihat pada maksudnya, maknanya solat itu adalah amalan memuji-muji kebesaran Allah. Secara keseluruhan, bukankah amalan solat itu boleh dilihatkan bagaikan membuat satu doa? Kita mulakan dengan kata-kata pujian ke atas Kebesaran Allah. Kemudian terdapat amalan memohon keampunan dan memohon rezeki/kesihatan (kebaikan). Terdapat juga ayat memohon keberkatan rahmat Allah SWT pada setiap rakaat. Siapa yang menghayati ini ketika solat, maka diwajibkan syurga buatnya walaupun hanya sebesar biji sawi. Setuju?

Noktah Ketiga: Ibadah Maknawi


Kita lihat pula pada solat secara keseluruhannya. Solat itu adalah sembahyang. Setuju? Apakah itu sembahyang? Ya! Ia adalah menyembah dan ia adalah satu ibadah. Apa pula itu ibadah? Ibadah datang dari ibad = عبد ('Abd) yang bermaksud "hamba", maka ibadah itu ertinya memperhambakan diri. Perhambakan diri pada siapa? Sudah tentu hanya pada ALLAH Azzawajalla. Kemudian dalam pemikiranku muncul Kalimah ke-23, Risale-i Nur, oleh Badiuzzaman Said Nursi.


"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya"
(Surah At-Tin [95] : 4)

Di dalam risalah ini telah ditekankan bahawa jika benar-benar mahu beribadat, kita tidaklah seharusnya semata-mata kerana ia adalah fardhu, yakni wajib; yang mana kebiasaannya adalah jika meninggalkannya hanya akan menempah balasan dosa. Lalu ibadah dijalankan kerana wajib (keterpaksaan). Apakah kita akan dapat merasai kemanisan iman jika ibadah dilakukan melalui niat sebegini? Fikirkanlah, mengapa diwajibkan beribadah (solat)? Lalu ku teringat pada kalimah lain, “manusia tidak dijadikan melainkan bagi beribadah kepada Allah.” Dalam ayat ini, telah dilafazkan "liya'budun”, yang membawa maksud beribadat. Apa itu ibadat? Ia ada pada kalimah Ibad (kehambaan) daripada kalimah 'Abd (hamba). Maka, Beribadah boleh membawa makna "memperhambakan diri". Memandangkan maknawi ibadah adalah memperhambakan diri pada Allah, maka seharusnya dilakukan dengan keredhaan kepada Allah sebagai Tuhan.. Maka dalam Kalimah ke-23 itu, Ustad Said Nursi telah menyatakan bahawa solat yang memiliki iman hakiki; yakni kemanisan iman adalah ibadah yang dilakukan demi kesyukuran kerana Allah. Yakni dengan memuji dan mensyukuri segala kurniaan Allah kerana Allah telah menjadikan kita dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Lalu ia akan berjaya melakukan ibadah dengan penuh keredhaan. 

Daripada Ibnu Abbas RA, Nabi ﷺ  bersabda: "Dapat merasai kemanisan iman,orang yang meredhai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Rasul."
 (Riwayat Muslim)


Noktah Ketiga: Khusyu'


Maka, apabila ibadah dilakukan dengan penuh keredhaan, akan dapat merasai kemanisan iman; Lalu akan mencapai tahap syukur. Namun, adalah itu hanya memadai? 

Kemudian aku merenung pengertian setiap pergerakan difahami dan dihayati. Aku pun mula melakukan solat dalam keadaan penghayatan pemahaman setiap kalimah yang dibaca. SUBHANALLAH! MASYA ALLAH! Tanpa ku sedari, solat ku habis kerana penghayatan pada pemahaman setiap kalimah ketika menunaikan solat. Mungkin bukan tak mampu sampai tahap Saidina Ali Bin Abi Talib r.a. (panah dicabut tidak disedari), tetapi aku berjaya capai tahap khusyuk yang telah dinyatakan oleh Rasulullah ﷺ Baginda menyebut bahawa khusyuk adalah apabila kita ikhlas menghayati ibadat yang dijalankan; disamping meninggalkan dunia; Ibarat sedang berbual dengan kekasih tercinta lalu meninggalkan hal-hal duniawi.


Kesimpulan


Tidakkah kalian mahukan sampai tahap khusyuk sebegini? Maka, apabila melakukan ibadat yang dijalankan, cubalah memahami ayat yang dibaca. Saya tidak menyuruh belajar bahasa arab; menjadi pakar bahasa arab.. Yang penting adalah memahami dan menghayati apa yang dimaksudkan. Supaya iman bukan hanya sampai kerongkong sahaja. Kalimah-kalimah indah dikeluarkan tetapi tidak dihayati. Lalu akan bertukar menjadi ahli ibadat yang jahil; melakukan ibadah dalam keadaan "buta".

Aku mengadakan satu dialog dengan rohaniku. Ia memberikan satu pesanan pada diriku:
"Kita telah tiba pada satu zaman manusia yang solat tapi tidak beribadat. Ya, mereka tunaikan pada masanya. Namun tiada Allah dihatinya. Mereka solat hanya kerana kerana takutkan dosa, dan takutkan neraka. Wahai diriku, apakah ia menyembah Allah atau menyembah dosa neraka? Wahai diriku yang bernafsu, apakah engkau mahu termasuk ke dalam golongan yang bergerak-bergerak.. Berdiri.. rukuk.. sujud.. Tapi yang diperolehi hanya satu senama yoga? Ya! benar, wahai diriku. Barangkali engkau terlepas daripada dosa. Namun, apakah benar engkau telah beribadat?"

Maka, setelah itu aku membuat keputusan kerana aku rindukan khusyuk penuh yang pernah diperolehiku. Dan setelah penghayatan menggunakan cara ini, aku berjaya memperoleh darjat khusyuk sebegini. ALHAMDULILLAH. SUBHANALLAH.

Maka, biarlah hanya nafsu menawan satu perkara sahaja.. Terutama pada nafsu itu adalah sifat 'ANANIYYAH' (keakuan). Maka dengan itu, tukarkanlah keegoan itu menjadi, "aku takut ditinggalkan kekasihku (ALLAH) kerana aku cintakanNya. Maka aku harus berikan tumpuan penuh bila bergayut (ibadah) padaNya". 

WAHAI MANUSIA YANG MAHU BERIMAN! Terapkanlah al-Ihsan pada Tuhanmu. Beribadatlah seolah-olah kamu dapat melihat Allah, biarpun sebenarnya kamu tidak dapat melihatNya. Kerana sesungguhnya Dia akan sentiasa melihatmu.

0 comments:

Post a Comment

Sebelum mula menulis komen, mulakanlah dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang