23 December 2012

Warqah 16: Hakikat Ujian dan Iman

Pada satu ketika dahulu, saya mengadakan suatu renungan: "Mengapa selalu bila ditimpa sesuatu ujian, kebanyakan manusia mengeluh?Jika ditimpa musibah pun, barangkali sesetengahnya hanya kata "Alah, itu hanya ujian. Kena bersabar." Itu jika bagi 'ingroup' mereka. Tetapi apabila musibah menimpa 'out-group' atau musuh, akan diperkatakan 'BALASAN'. Alangkah begitu berat sebelahnya pemikiran mereka." Apakah ujian itu hanya perlu sabar? Jadi, mengapa Amirul Mukminin Khalifah ar-Rasyidin, Umar Ibn al-Khattab bersyukur bila ditimpa ujian? Tak mahu jadikan sunnah ini sebagai ikutan? Padahal Rasulullah s.a.w. turut berwasiat agar mengikuti Sunnah Khulafa' ar-Rasyidin al-Mahdiyin. Sesiapa yang mengikuti sunnah mereka adalah seumpama menuruti as-Sunnah Rasulullah s.a.w.

Selain itu, saya juga turut terbayangkan hakikat hamba dunia. "Diberikan ia meredhai, tak diberikan ia tidak meredhai". Maka, ujian yang disukai ia meredhai. Yang tak disenangi ia tidak meredhai.

Lalu saya cuba untuk memahami hakikat ujian. Apakah yang dimaksudkan dengan ujian, dan bentuk-bentuk ujian. Apakah hakikat sebenar ujian?

Sudah! Saya potong, dan susunnya dalam bentuk yang lebih mudah difahami. Mari ikuti penghayatanku. Ayuh jadikan peringatan bersama.

(Nota: Sebenarnya saya dah lama buat article ni, sebelum artikel-artikel lain, tapi tak pernah post. Walhal hakikatnya ia mempunyai banyak perkaitan dengan Carta 9 dan Maknawi Fitnah)



Segala Puji bagi Allah Tuhan Pentadbir segala alam

Tiada lain yang disembah selain daripada-Nya

Dan tiada yang dapat menandingi-Nya

 


عَن أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ يُرِدْ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُصِبْ مِنْهُ
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: ‟Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, nescaya Allah mengujinya.”(Riwayat al-Bukhari)
Kebiasaannya, kebanyakan muslim akan melihatkan ujian hanya pada perkara seperti musibah  dan seumpamanya. Ramai juga menganggap ujian sebagai balasan perbuatan atau sekadar melihat ujian bagi menguji kesabarannya. Kedua-dua jawapan tersebut tidaklah salah. Namun, sebenarnya ujian mempunyai pengisian yang lebih mendalam. Ujian terbahagi kepada dua jenis:
1.       Masalah - Demi menguji kesabaran.
2.       Kenikmatan – Ujian samada kita sentiasa bersama Allah
Pada tiap ketika, Allah akan menurunkan ujian bagi menguji iman kita. Ujian juga boleh dilihat pada dua sudut. Pada suatu masa, ujian diberikan dalam bentuk nikmat untuk kita melihat samda bersyukur ataupun tidak. Dan pada saat lain, ujian adalah nikmat, sebagaimana hadis itu secara zahirnya. Secara keseluruhannya, hakikatnya ujian adalah rahmat Allah s.w.t.
Allah s.w.t. berfirman (yang bermaksud): ‟Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah Al-Anbiya' [21] : 35)

Wajah Pertama: Ujian masalah dan nikmat


أَسْتَغْفِرُ الله الْعَظِيْمِ، الَّذِي لَا إِلَـهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوم وَأَتُوبْ إِلَيْهِ

Apakah masalah itu adalah suatu bala? Benarkah? Barangkali..mungkin benar..bagi sesiapa sering bersangka buruk, pesimistik. Mereka akan menganggap masalah hanya sebagai balasan, diatas kesalahan yang pernah dilakukan.
Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."(Surah Al-Baqarah 2:156)
Sebenarnya, pemikiran ini tidaklah sepenuhnya salah. Namun, sebagai seorang mukmin, adalah lebih baik jika kita kembali kepada fitrah penciptaan. Jika melakukan kesalahan, bertaubatlah! Terdapat 2 alasan masyur melengahkan/mengelakkan taubat:
1.       “Aku tak pernah buat dosa besar. Kenapa nak taubat?” Dosa besar (zahir) = Membunuh, syirik, fitnah, dsb.
2.       “Alah.. Muda lagi! Tua nanti aku taubatlah. Buat masa ni, enjoy dulu hidup.”
Ada juga yang mengatakan: “Esok-esok aku taubat..” Apakah jaminan kita akan sempat hidup hingga esok hari? Terdapat suatu peristiwa, seorang pengantin (muda) yang meninggal ketika ia sedang sujud. Apakah jaminan kita akan hidup selama-lamanya? Apakah pula jaminan kita tidak pernah melakukan kesalahan (dosa)?
Sesungguhnya penyesalan itu adalah taubat. Taubat paling diterima adalah jika seorang itu mahu berhijrah, meninggalkan kesalahan segala  kesalahan (larangan); Seorang muhajir adalah seorang yang adalah tidak mahu kembali kepada fitrah yang lama. Kita lihatkan kisah berikut:
Seorang lelaki yang hidup dalam hiburan dan kehidupan yang kufur tanpa disedarinya. Ia menyangkakan bahawa nama Islam padanya adalah sudah memadai; Tiada kerisauan dalam kehidupannya kerana kerap menyangkakan bahawa syurga pasti akan dimilikinya biarpun tenggelam dalam dosa. Malahan, ia tidak suka dibebankan dengan kesusahan seperti amalan soleh (ibadah) dan seumpamanya. Ia merasakan perkara seperti solat akan mengambil masanya.
Lalu, pada suatu hari ia ditimpa satu kemalangan. Allah telah menurunkan satu ujian padanya. Kemudian ia tersedar dari buaian duniawinya. Allah telah menyedarkannya agar kembali kepada Allah. Ia terfikir, “Nasib baik aku tak mati. Macam mana kalau aku mati tapi tak sempat taubat? Ceh! Kalau kesukaran (ibadah) yang setakat 5 minit pun aku resah; Inikan pula azab seksa neraka. Azab seksa selama 1 saat pun belum tentu aku dapat bertahan. Alhamdulillah, Allah berikan aku peluang untuk berubah”. Semenjak itu, ia telah mula berubah menjadi seorang yang mula mendekatkan diri kepada Allah.

Firman Allah s.w.t.:
بَلَى مَن كَسَبَ سَيِّئَةً وَأَحَـٰطَت بِـٰئِكَ أَصْحَـٰهِ خَطِيَـتُهُ فَأُوْلَبُ ٱلنَّار هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah Al-Baqarah 2:81)
Oleh kerana itu, bukankah ujian itu adalah juga satu rahmat Allah? Maka, barangsiapa yang Allah mahukan kebaikan padanya, maka Allah akan mengujinya. Dan Allah akan turut mengurniakan kefahaman agama kepadanya. Dengan itu, sebarang ujian kesusahan adalah nikmat. Allah mahu menguji samada ujian yang diberikan mampu membuatkan diri kembali kepada Allah.
Firman Allah s.w.t.: ..Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).(Surah Al-Baqarah 2:214)

Wajah kedua: Nikmat menjadi ujian


Sebarang kesenangan dan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT itu adalah juga termasuk dalam ujian Allah ke atas kita. Allah Maha Mulia mahu melihat samada kita bersyukur di atas segala kesenangan dan nikmat yang diberikan oleh-Nya kepada kita. Sebagaimana firman Allah s.w.t. (yang bermaksud):


Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): "Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).”
(Surah Az-Zumar 39:49)
Janganlah menjadi hamba dunia. Golongan yang hanya kembali kepada Allah apabila ditimpa kesusahan. Pelbagai amalan akhirat yang dilakukan yang dilakukan bagi mendapatkan apa yang dikehendaki. Lalu kesyukuran berlalu dalam diri hanya sekali sahaja. Akhirnya hanya meredhai jika diberikan dan tidak meredhai jika tidak diberikan. Kita lihat pula situasi ini:
Bayangkan keadaan seorang ibu; Yang telah melahirkan anak setelah mengandung selama 9 bulan, dan kemudian membesarkan anak tersebut. Apa yang diharapkan dari anak tersebut? Agar anak dapat menjalani kehidupan baik dan menghargai kasih-sayangnya. Bagaimana jika satu hari nanti anak telah berjaya, tetapi melupakan anda? Sudah tentu akan marah. Bukankah sebegitu? Terutama sekali jikalau ia tidak memenuhi harapan anda. Pasti akan mengecewakan diri.

Jika seorang ibu boleh mempunyai perasaan sebegitu, apakah bila perasaan kita bila menghadapi perasaan sebegitu (sebagai anak)? Adakah mahu kata begini; “Alah! Itu perasaan ibu! Bukan perasaan saya! Saya buatlah apa yang saya nak! Saya setakat anak ibu jer!”. Kalau kita begitu sayangkan pada ibu, sudah pasti kita akan cuba sebaik mampu untuk penuhi tanggungjawab kita sebagai anak. Jika seorang ibu berperasaan sebegitu, adakah anda mahu mengecewakannya? Bagaimana pula dalam penciptaan manusia?
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Surah Adz-Dzariyat 51:56)
Kita telah diciptakan untuk beribadah kepada Allah. Beribadah bukanlah sekadar bermaksud sembahyang, puasa, zakat atau apa-apa berkaitan. Biarpun Allah tidak memerlukan ibadah kita. Tetapi kita memerlukan ibadah ini untuk mendapatkan keredhaanNya. Maka, kita perlu ‘bekerja’ demi mendapatkan ‘gaji’ disamping ‘memuaskan bos’ didalam sebuah ‘syarikat’ yang amat besar. Pekerjaan itu adalah Ibadah; Gaji adalah Rahmat; kepuasan bos pula adalah Keredhaan Allah; dan syarikat itu adalah dunia ini.
“Sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.”
(An-Naml 27:40)

Solat dan amalan semata-mata bukanlah penyelamat kita ke syurga. Beribadah adalah menyedari bahawa diri adalah hamba kepada Allah. Orang yang beribadah adalah mereka yang menjaga Islam, Iman dan Ihsan kepada Allah Azzawajalla. Ihsan adalah penghayatan rukun-rukun Iman & Islam di dalam amalan dan perbuatan. Samada bersifat rohani mahupun bersifat maknawi bersesuaian dengan kehendak Tuhan. Ia bersifat batiniah atau rohaniah di dalam semua ibadah dan amal soleh yang dilakukan.
Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah Al-An'aam 6:162)

Orang yang menjaga ihsan akan sentiasa menjaga kerendahan diri pada Allah. Apakah kekerapan kita dalam melahirkan kesyukuran? Bilakah kali terakhir anda bersyukur? Adakah hanya akan bersyukur jika mendapat sesuatu yang besar? “Alhamdulillah dapat cari kerja yang aku cuba cari selama ini.” Bagaimana pula bagi perkara yang sedikit, tidak zahir? Apakah ketika solat hanya membaca: “Alhamdulillahi rabbil ‘alamin”? Atau benar kalian membaca bersama ertinya dari hati, “Segala puji bagi Allah Tuhan segala alam”?
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (Surah At-Tiin 95:4)
Dengan kebaikan ini, Allah mahu menguji kita samada kita beramal soleh, dan menjaga akhlak diri.  Segala nikmat yang diberikan adalah sebenarnya ujian yang Allah berikan untuk lihat samada kita bersyukur kepadanya.
Pernah sekali saya terfikir: ”Bagaimana jika Allah tidak membenarkan ku lahir sebagai seorang muslim?  Apakah kemungkinan aku mengenal kalimah-Nya di hati? Sudah tentu jauh sekali aku daripada mengenal kalimah pembuka pintu syurga di awal pembesaran.”

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).
(Surah Al-Baqarah 2:152)

Amalan semata-mata bukanlah penyelamat. Jika orang kafir tidak mendapat sebarang ganjaran (ke syurga) atas kebaikan mereka, apa akan berlaku jika ku lahir sebagai seorang bukan Islam? Apakah kemungkinanku melangkah ke pintu syurga? Mungkin juga akan timbul perasaan Islamophobia dalam diri angkara pendedahan media dan melihatkan sikap-sikap kebanyakan yang Islam hanya pada nama. Lalu ku bertahmid dan bertasbih. Oleh kerana itu, aku bersyukur atas kejadian diri.  Kerana aku sedar bahawa kebaikan ini adalah ujian-Nya kepadaku.

Allah Azzzawajalla berfirman: “Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih;” (39:3), & Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah dengan ikhlas beribadat kepadaNya (semata-mata kepadaNya dan menjauhi bawaan syirik)” (7:29 & 40:14).

Wajah Ketiga: Rahmat dan Iman


Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Surah Al-‘Ankabut 29:2)
         Seorang mukmin hakiki akan redho menghadapi segala ujian; tanpa mengira samada ia adalah musibah atau kesenangan. Tanda kebesaran iman, adalah ia akan menganggap segala sebagai ujian dan nikmat. Akan bersyukur ke atas segala ujian. Diriwayatkan bahawa:

Pada suatu masa, Saidina Umar ibn Al-Khattab r.a.  pernah terjatuh dari kuda sehingga berdarah kepalanya. Beliau tersenyum sambil menadah tangan (tanda) bersyukur, para sahabat berasa aneh dengan peristiwa tersebut bertanya kepada Umar r.a akan tingkah lakunya itu. Umar menjawab, ”bagaimana aku tidak bersyukur dengan kasih sayang yang telah ALLAH tunjukkan kepada ku?”
Dalam peristiwa lain, Umar kelihatan sedih lalu para sahabat bertanya. Jawab Umar, “hari ini aku belum lagi diuji oleh Allah SWT. Aku takut andai ada aku melakukan kesilapan sehingga aku tidak ditimpa ujian.” Lihatlah. Begitulah keadaan khalifah ar-Rasyidin tersebut. Betapa ia cintakan ujian yang diberikan Allah. Ia meredhai segala perkara yang diberikan.
Firman Allah s.w.t.: ‟Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).” (Surah Al-A’raf 7:168)
Sesiapa yang meredhai kejadian segala perkara adalah kerana Allah menjadi rahmat padanya, pasti ia akan merasai kemanisan iman.  Akan tenang jiwanya. Dengan itu, ia akan mempunyai iman hakiki ditangannya. Maka, ia akan berani mencabar dunia. Sebarang daya tarik dunia tidak akan mampu menariknya. Kerana ia lebih tertarik kepada akhirat. Rahmat Allah ada di mana-mana. Akan tiada pernah mencukupi buat manusia. Seumpamanya keadaan saya sendiri:
                Pada suatu ketika dahulu, saya pernah bekerja dalam sebuah organisasi badan bukan kerajaan. Bukan sahaja saya jauh dari kampung halaman, malah pendapatan yang diperolehi selalunya hanya sekadar memadai buat mengisi perut sehingga akhir bulan (tiada lebihan). Bahkan, perlu tinggal di rumah perlindungan organisasi menjadi penjaga. Kerap juga terpaksa mengeluarkan duit sendiri (bukan duit syarikat). Sering juga membelikan juadah petang untuk pekerja bawahan. Setelah memikirkan semula, walaupun kerap mengeluarkan wang sendiri, perut saya tidak pernah kelaparan. Sebaliknya, perut sentiasa kekenyangan pada setiap hari tanpa kuota makanan perlu kurangkan. Dan berat badan saya meningkat. Malahan, saya pernah dipanggil oleh jabatan Kementerian untuk menghadirkan demi menerima Anugerah Belia Negaraʼ. Alhamdulillah syukur diluahkan.
Lihat. Rahmat Allah terletak di mana-mana. Allah tidak akan sesekali mengabaikan hamba-Nya. Terutama sekali bagi mereka yang sering menggunakan nikmat kurniaan-Nya bagi membantu golongan lebih lemah.
Saya melihat ini bahawa perkara ini berlaku dengan begitu kerap hinggakan saya menjadi yakin bahawa saya telah mendapat manfaat daripada rahmat melalui orang-orang yang dibantu saya itu. Saya mengaku bahawa mereka tidak menjadi beban kepada saya; sebaliknya, saya terhutang budi kepada mereka.
                Dengan itu, saya berterima kasih kepada mereka dan bersyukur kepada Allah Azzawajalla. Setiap ujian, pasti akan ada kelebihannya. Allah telah berfirman bahawasanya, dengan setiap kesusahan, pasti akan ada kemudahan mengiringinya.
 إِنَّ مَعَ ٱلْعُسْرِ يُسْرًا
Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
(Surah Asy-Syar-h 94:6)
                Rumusannya adalah segala ujian yang diberikan Allah s.w.t. adalah sebenarnya nikmat yang Allah berikan kepada kita agar kembali kepada-Nya. Dan ia termasuk juga nikmat yang Allah berikan. Ujian kesenangan dan masalah kesusahan yang Allah berikan adalah agar kita bersyukur dan bertaubat ke atas-Nya. Sekiranya kita memohon sesuatu, jika tidak dapat dalam bentuk yang dipinta, Allah akan tetap memperkenankannya dalam bentuk ujian.
Aku memohon diberikan kekuatan, dan Allah memberikan aku kesulitan untuk menjadikan aku kuat”. (Sultan Salahuddin Al-Ayubi)

Maka dengan itu, sesungguhnya nikmat adalah ujian dan ujian adalah nikmat. Ujian dan nikmat, kedua-duanya adalah rahmat Allah Subhanahu wa Taala Yang Maha Agung. Yang penting adalah bagaimana kita menerima ujian ini. Jika sabar dan tabah, akan menguatkan lagi iman. Kata Said Nursi, “Manusia yang mempunyai iman hakiki di tangannya akan mampu mencabar dunia”. Amalkan kalimah mulia istighfar dan tahmid setiap kali berdepan dengan ujian yang diberikan oleh-Nya. Tatkala ditimpa sesuatu yang buruk, amalkanlah kalimah ini:

 إِنَّا للَّهِ وَإِنَّا إِليهِ رَاجِعُونَ ، اللَّهمَّ أَجِرْني في مُصِيبَتي ، وَاخْلُف لي خَيْراً مِنْهَا، إِلاَّ أَجَرَهُ اللَّهُ تعَالى في مُصِيبتِهِ وَأَخْلَف له خَيْراً مِنْهَا
Maksudnya: Sesungguhnya daripada Allah kami datang dan kepada-Nya jualah kami kembali. Ya, Allah. Berikanlah ganjaran diatas musibahku ini dan gantikanlah untukku dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya.

Dengan itu, peliharalah iman. Dan, ingatilah pemusnah kelazatan. Bersabarlah setiap kali bertemu masalah. Dan bersyukurlah atas segalanya biarpun sedikit sahaja. Sesiapa yang tidak bersyukur atas perkara yang kecil, tidak akan bersyukur ke atas perkara yang besar. Sesungguhnya kehidupan ini adalah ujian yang Allah berikan kepada kita. Untuk menguji samada diri bersyukur ataupun tidak. Manakala mereka yang mengingati pemusnah kematian akan dimasukkan ke dalam golongan yang berjaya.
Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).(Surah Ali 'Imran 3:144)

Oleh itu, jalankan kehidupan Al-Amin. Jejakilah siratul mustaqim. Kuatkan iman. Mukmin yang memilik iman kuat dalam dirinya, tidak akan takut menghadapi cabaran dunia. Malah, ia akan sanggup mencabar dunia yang fana. Sebarang tarikan nafsu duniawi tidak akan berjaya menariknya. Sehubungan itu, janganlah melampaui akhlak terpuji dan melebihi batas syariat Ilahi sebagaimana yang telah dilakukan oleh Bani Israel (dan waris mereka) setelah sekian lama (ketaksuban ugama). Sebaik-baik perkara adalah pertengahannya. Mukmin hakiki akan sentiasa basahkan bibisnya dengan zikrulllah; Kesabaran dan kesyukuran di hati. Mari berusaha mendapatkan keredhaan Allah Azzawajalla agar ditempatkan di dalam syurga yang abadi.



اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته