K O N S E P F A R D H U

Allah s.w.t. berfirman:
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ
وَالصَّلاَةِ ، وَإِنَّهَا
لَكَبِيرَةٌ إِلاَّ عَلَى الْخَاشِعِينَ
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;” (Surah al-Baqarah 2:45)
[ M U K A D D I M A H ]
Aku pernah pada satu masa dahulu melakukan satu perjalanan rohani. Aku cuba memahami; mengapakah ibadat itu (solat) diletakkan sebagai "fardhu" pada lafaznya; padahal dalam bahasa arab terdapat banyak kalimah yang bermaksud wajib. Malahan wajib itu juga kalimah arab. Hmmm..
[ N U K T A H P E R T A M A ]
Kita lihat dulu fardhu dari aspek lahiriahnya; yakni pada kewajiban. Aku terkenangkan Kalimah Ke-3. Maka aku akan sampaikan perumpamaan antara orang yang fasik meninggalkan solat dan seorang yang tidak meninggalkan solat. Lihat: Kalimah Ke-3, Risalah an-Nur
“Ibadat itu ketenangan dan kefasikan adalah kecelakaan” (Said Nursi)
Sesungguhnya semua mukmin tahu solat adalah suatu kewajipan yang telah tetapkan ke atas setiap manusia.
Nabi s.a.w. bersabda: “Janji (perbezaan) diantara kita (muslim) dan mereka (kafir) adalah meninggalkan solat.” (Riwayat Ahmad)
Ust Nursi telah membuat perumpamaan ini bagaikan dua orang askar dalam perjalanan melaporkan diri di medan perang:
Dalam perjalanan, mereka telah dapati jalan terpecah menjadi 2 cabang dan seorang tua. Lelaki itu telah mengatakan bahawa ia sama-sama menghala ke medan tersebut namun perjalanannya berbeza. Telah dimaklumkan bahawa jalan kanan adalah jalan lapang tanpa perlu membawa sebarang beban. Manakala ia perlu membawa beban-beban senjata melalui jalan kiri yang berliku-liku bersama pokok menghalang. Tapi jika memilih jalan kanan, akan ditetapkan sebagai pembelot dan kanan kiri akan disanjung sebagai jaguh penyelamat.
Salah seorang daripada mereka telah memilih jalan kanan. Perjalanannya tiada gangguan. Tapi apabila tiba di medan perang, ia telah ditetapkan sebagai seorang pembelot kerana sepatutnya ia hadir sebagai askar membantu peperangan. Malahan, perjalanannya tiada ketenangan kerana kerisauan terhadap serangan hendap berikutan ia telah meninggalkan senjatanya.
Manakala bagi askar kedua, ia telah memilih jalan kiri. Jalan itu banyak berliku-liku mengganggu perjalanan dicampur dengan beban senjata. Namun apabila tiba, seperti yang dijangka umum, beliau telah disanjung sebagai seorang hero penyelamat keadaan. Malahan beliau tiada gangguan sepanjang perjalanan kerana jalannya banyak tempat bersembunyi. Ada juga senjata bagi mempertahankan dirinya.
Sebegitulah perumpamaan keadaan diantara seorang yang menunaikan solat dan menunaikan solat. Perumpamaan yang mengikuti jalan kanan itu adalah bagaikan seorang yang tidak mahu menanggung tanggungjawab menunaikan solat. Manakala jalan kiri adalah pada orang yang menunaikan solat.
[ N U K T A H K E D U A ]
Seperti yang dinyatakan, aku pernah membuat renungan, mengapa ibadat itu sebut sebagai fardhu bukan dilafazkan terus sebagai wajib, walhal banyak juga kalimah arab yang merujuk kepada wajib. Malahan kalimah "wajib" itu pun pada asalnya merupakan satu kalimah arab (واجب). Selepas merenung, aku teringatkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (rh); Nabi s.a.w. bersabda: “Dapat merasai kemanisan iman, sesiapa yang meredhai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, dan Muhammad sebagai rasul.”
Aku terfikir: Meredhai bagaimana? Adakah redha pada pandangan melayu? “Ala... redho je la... Nak buat macam mana lagi kan? Terpaksa”
TERPAKSA?? Aku merenung.. Apakah maksud keredhaan hakiki? Bunyi macam ibadat dilakukan dengan keterpaksaan. Itu maksudnya redha? Lalu aku merujuk guru-guruku. Aku telah dimaklumkan bahawa redha itu maksud sebenarnya adalah kita melakukan dengan rasa kemanisan dalam amalan itu. Rasulullah pernah bersabda: “Agama adalah mudah. Tiada siapa yang berlebih-lebihan melainkan ia dikalahkan. Perbetulkanlah, dekatkanlah dan bergembiralah” (HR Bukhari). Dengan erti kata lain, beramal redha itu bererti kita melakukan sesuatu tanpa memberatkannya. Kita melakukannya dengan gembira jikalaupun ganjarannya hanya sedikit.
Oleh itu, fardhu itu benar sesuatu yang wajib. Namun ia bukan wajib semata-mata. Tapi kita melakukannya dengan khusyuk dan ikhlas. Kita bergembira dalam amalan itu. Tiada keterpaksaan yang lahir dalam jiwa. Berbanding menjadikannya suatu beban, terimalah ia sebagai satu hidangan langit. Jika tiada amalan solat, bagaimana lagi kita boleh berbakti kepada Allah? Tanpa solat, dimanakah tangga untuk kita kembali ke syurga? Maka, solat itu bukan satu tanggungjawab yang berat Tapi ia adalah suatu;
“ H I D A N G A N L A N G I T ”
[ N U K T A H K E T I G A ]
D A R J A T I B A D A T

Suatu masa dahulu ketika menghayati ayat 4, Surah at-Tiin; atau lebih tepat, Kalimah ke-23, Risalah an-Nur; http://bit.ly/Kalimah_23; aku telah mendapat suatu ilham tentang "konsep/darjat fardhu". Aku tercari-cari (masih mencari) kalimah yang sesuai untuk digunakan untuk perkara ini. Aku telah terbayangkan ibadat pada darjat, fasa, konsep, peringkat, tahap, jenis dan sebagainya. Lalu masih mencari. Atau secara ringkasnya, ia adalah tentang peringkat nawaitu ketika menunaikan ibadat yang fardhu bagi setiap mukmin.
Ayat ke-4 tersebut telah menegaskan bahawa: Oleh kerana manusia telah diciptakan dengan sebaik-baiknya, maka beribadatlah kamu dalam kesyukuran kepada Allah.
Lalu aku cuba renungkan, and I went into a trance: Dalam penjalanan rohani ini, aku telah medapati bahawa nawaitu hati dalam menunaikan beribadat terdapat dalam lebih daripada satu jenis/darjat; dan aku telah mendapati bahawa ibadat yang menjadi fardhu boleh dibahagikan kepada tiga fasa. Dalam ini, juga aku terbayangkan konsep "fardhu". Lalu aku cuba merujuk para ilmuwan (tak berani buat ijtihad sendiri). Dan aku dapati bahawa ia juga kerap dinyatakan dalam kitab lain; diantaranya seperti kitab himpunan hadis Imam Abu Zakariya Muhyiddin al-Nawawi (r.h). Imam Nawawi telah menyatakan bahawa manusia yang berjaya adalah mereka yang melakukan ibadat dengan ikhlas kerana Allah. Dan katanya ikhlas ada tiga jenis;
Ikhlas Hamba: - Mengakui diri sebagai hamba Allah. Lalu beribadat kerana takut kepada Allah
Ikhlas Saudagar: - Beramal kerana mahukan ganjaran pahala
Ikhlas Merdeka: - Beramal dalam tawaduk dan malu kepada Allah AW. Lalu lahir kesyukuran dihatinya. Maka seseorang yang sebegitu adalah ikhlas merdeka tanpa rasa terikat.
Aku dapati konsep fardhu yang ditemuiku ini adalah seperti jenis ikhlas yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi (rh).
P e r t a m a : WAJIB. Seperti yang dinyatakan dalam nuktah pertama & ke-2, sebagai hambaNya, semua manusia adalah diwajibkan beribadat kepada Allah. By hook or by crook, W-A-J-I-B. Apa itu ibadat? Ia lahir dari kalimah ibad (kehambaan). Lalu ibadat adalah amalan sebagai bukti kita mengakui diri adalah hamba kepada Allah. Lalu solat itu adalah satu amalan yang menzahirkan kalimah kunci syurga, Ashadu an la Ilaha illalLah (Aku bersaksi bahawa tiada tiada Tuhan melainkan Allah). Biarpun dilakukan ikhlas kerana Allah, namun ia tetap kekal sebagai ibadat wajib. Aku meletakkan wajib disini kerana ia beribadat semata kerana takutkan balasan dosa. Sebagaimana hadis yang dinyatakan dalam Nuktah Pertama diatas. Lalu ia beribadat dalam 'keterpaksaan' kerana takut akan azab api neraka. Tiada salahnya. Seperti yang telah dikatakan, ia hanya peringkat nawaitu dalam ibadat. Ia adalah seperti ikhlas hamba seperti yang dikatkan oleh Imam al-Nawawi.
K e d u a : HAJAT. Setiap manusia yang pasti akan punyai sekurang-kurangnya satu hajat biarpun ia hanya sebesar zarah. Peringkat ini tidak banyak beza dengan Ikhlas Saudagar seperti yang dinyatakan oleh Imam Nawawi. Oleh itu, pasti setiap muslim mahukan ganjaran pahala dan rahmat Ilahi. Dan kebanyakan manusia pasti hajatkan kebahagiaan diri. Biarpun pada seorang ibu mendoakan untuk anaknya, nescaya ia tetap mahukan kebahagiaan daripada doa itu. Nescaya dengan kebahagiaan anaknya akan membahagiakan dirinya sendiri. Seperti yang dinyatakan dalam hadis, dapat merasai kemanisan iman sesiapa yang meredhai Allah sebagai Tuhan; maka ia mengakui kebesaran Allah sebagai al-Qadir (Maha Menentukan) dalam segala halnya. Dengan itu, nescaya ia akan beribadat (solat) apabila hajatkan sesuatu, biarpun hanya ganjaran pahala. Ia telah menjalan ibadat itu umpama satu urusan niaga dengan Allah sebagaimana firmanNya: "Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaanyang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?" (Surah as-Saf 61:10)
K e t i g a : IKHLAS. Apa maksud ikhlas? Ya, melakukan suatu perbuata tanpa mengharapkan balasan/pulangan. Lalu dalam aspek ubudiyah, beramal benar-benar ikhlas kerana Allah Taala. Namun, bagimana nak tahu ikhlas? Lalu ikhlas ini agak berbeza sedikit (sedikit sahaja) dengan konsep ikhlas dari aspek pandangan Imam Nawawi kerana ini adalah tentang ibadat. Dalam hal ikhlas ibadat ini, mukmin akan beribadat dengan keadaan diri yang tawaduk bersama perasaan kesyukuran diatas kejadian dirinya yang dijadikan ahsani taqwim. Dengan itu seorang mukmin yang punyai ibadat ikhlas pada peringkat ini, ia akan beribadat semata-mata kerana meredhai Allah sebagai Tuhan dan benar-benar solat kerana kesyukuran tanpa mengharapkan sebarang balasan. Kita gunakan perumpamaan pada seorang anak yang soleh ini: "Ia telah dibesarkan dan dibelai dengan kasih sayang ibubapanya. Lalu setelah membesar, ia telah membuat keputusan untuk berbakti kepada ibubapanya yang telah tua tanpa mengharapkan sebarang ganjaran/balasan daripada ibubapanya". Begitulah dalam baktimu kepada Allah sebagai hambaNya.
Harus dapat merasai kemanisan iman, pada sesiapa yang dapat mencapai darjat ibadat ini.
[ R I N G K A S A N ]
Daripada Abu Said al-Khudri r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang meredhai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, dan Muhammad sebagai nabi; maka wajiblah syurga baginya." (Riwayat Muslim)
Sesungguhnya memang benar ibadat fardhu seperti sembahyang adalah satu kewajipan ke atas setiap umat Islam. Namun, tanpa kefardhuan ibadat seperti solat, doa dan zikir, apakah lagi cara untuk kita mendapat ganjaran dan bagaimana untuk membuka kunci syurga itu tanpa amalan-amalan tersebut. Sesungguhnya amalan-amalan semata bukanlah penyelamat tanpa rahmat Allah. Maka, ibadat itu adalah pintu untuk memohon rahmat Ilahi.
Oleh kerana itu, sesiapa yang merasai kelazatan iman, nescaya ia akan menganggap ibadat-ibadat fardhu itu sebagai satu hidangan dari langit.
0 comments:
Post a Comment
Sebelum mula menulis komen, mulakanlah dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang