19 November 2012

Carta 8: Catatan Sunnah

Baru-baru ni, aku telah pergi ke Madrasah Hayrat untuk tujuan aktiviti usrah memahami Risalah an-Nur. Kami telah membincangkan tentang Lamaah Ke-4 Lamaah Ke-11Dalam risalah hidangan langit tersebut, Ustad Said Nursi telah menerangkan tentang konsep as-Sunnah. Dan saya akan menghuraikan pemahamanku tersendiri di dalam konsep sunnah dalam risalah ini.

Aku berlindung dengan Allah daripada segala kejahatan yang telah diciptakan


Maksudnya: Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. (Surah at-Taubah [9] : 128)

Konsep Sunnah

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Aku Tinggalkan untukmu dua perkara. Tidak akan sesat selamanya selagi kamu menuruti keduanya. Yaitu Kitabullah (al-Quran) dan Sunnahku.” (Riwayat Imam Malik dan Anas r.a.)


Sesungguhnya difahami ramai, bahawa secara keseluruhannya Sunnah Rasulullah s.a.w. adalah wajib dijadikan ikutan. Itulah yang meletakkan darjat kita sebagai ahlul Sunnah wal Jama'ah, dan darjat inilah yang mendapatkan kelayakan kita ke syurga. Ketika membaca Lamaah, ia mengingatkanku kepada sebuah hadis. Diringkaskan, Nabi s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya umatku akan terpecah menjadi 73 golongan dan hanya satu golongan ke syurga iaitu Ahli Sunnah wal Jamaah." (HR Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasai’ dan Ibnu Majah)

Konsep sunnah ini bukan hanya tertakluk semata-mata pada mazhab. Hanya kerana diri mengikuti  mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, atau Hanbali tidaklah menjamin kita sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah biarpun itu adalah benar, hanya mereka yang ahli Sunnah & al-Jamaah hakiki akan mengikut mazhab-mazhab tersebut. Pada zaman Rasulullah s.a.w., keempat-empat mazhab ini masih belum wujud. Maka Rasulullah tidak merujuk pada mazhab. Biarpun sekiranya kaca hati Rasulullah dapat melihat masa hadapan, tidakkah pelik jika Rasulullah menyampaikannya pada para sahabat r.a. ketika itu? Kerana mereka tidak pernah mendengar nama mazhab-mazhab tersebut. Dengan itu, ertinya adalah Rasulullah bermaksud: “Mereka yang mengikuti sunnahku dan sunnah para sahabatku serta sunnah khulafa ar-Rasyidin al-Mahdiyin .

Sesungguhnya, kita tidak diwajibkan mengikut mana-mana mazhab. Imam asy-Syafie (rh) pernah menyatakan bahawa perbezaan diantara keempat-empat mazhab tersebut hanyalah dari sudut fikah. Tauhid dan aqidah tetaplah sama. Beliau menyatakan bahawa kita semua tetap wajib bermazhabkan sunnah Rasulullah s.a.w.

Sunnah terdapat beberapa tingkatan/darjat. Terdapat juga keadaan pada sunnah. Berikut adalah beberapa bahagian berkenaan pemahamanku ke atasan sunnah:


Nota 1. Penjelasan Sunnah

Dari sudut bahasa, sunnah (سنة) bermaksud "jalan" atau "cara". Tafsiran yang lebih terperinci, ramai ahli bahasa menafsirkannya sebagai bermaksud cara kehidupan atau cara beramal. Tapi kalau tengok dari sudut agama (Islam), ia bermaksud cara kehidupan yang beragama. Jika tentang sunnah Rasulullah s.a.w., ia sering sebut sebagai as-Sunnah. Dan as-Sunnah adalah berpunca dari hadis-hadis Rasulullah.

Sama seperti anggaranku, Ustad Said Nursi telah menafsirkan sunnah Rasulullah terbahagi kepada dua jenis:

  1. Terutamanya adalah sunnah baginda dalam beramal ibadah atau boleh dipanggil Sunnah Ubudiyah. Sunnah-sunnah baginda dalam beramal. Di sini juga ada sesetengahnya berkaitan dengan fiqh. Ada yang wajib dilakukan dan ada yang sunat.. dan ada yang tak perlu dilakukan. Keadaan inilah yang membezakan antara semua mazhab Ahlul Sunnah wal Jama'ah. Ada ulam yang menetapkan sebagai wajib ada pula menetapkan sebagai Mutawatir dan ada pula menetapkan sebagai sunat. Dan ada pula menetapkan 'tidak perlu'. Sebagai contohnya: Qunut dan surah Sajjadah pada solat subuh hari jumaat.
  2. Sunnah kedua pula digelar sebagai Sunnah Mutawatir. Sunnah ini terkait dengan adab atau cara baginda beradab dan hidup alamiah; Ada juga sunnah berkaitan interaksi dengan insan lain, atau dengan kata lain, hidup bersosial yang berakhlak.

    “Tuhanku telah mengajarkan adab padaku dan Dia telah memperelokkan akhlakku”. 

    Sunnah ini adalah tentang adat atau cara baginda hidup bersosial, berinteraksi, berhubungan dan berkomunikasi dengan manusia yang lain. Adapun, jika tidak menuruti mengikuti Sunnah baginda dalam hal ini tidak dijatuhkan sebagai bida'ah. Ia adalah tentang kebiasaan kehidupan baginda.

Namun begitu, dalam ketentuan ibadah, terdapat beberapa sunnah yang disebut sebagai al-Muhkamat (tegas & jelas). Sunnah jenis ini adalah tidak boleh diubah. Sebagai contohnya, cara menunaikan solat. Rukun ibadat hanya dapat dirujuk melalui sunnah al-Muhkamat. Mengubah atau menambah sesuatu dalam hal ini akan diletakkan sebagai sebagai bidaah.

“Setiap bida’ah sesat dan setiap kesesatan adalah di neraka” 


Nota 2: Darjat sunnah

Nabi s.a.w. bersabda:
“Siapa yang mengikuti sunnahku di saat umatku rosak, ia akan mendapat pahala seratus orang yang mati syahid.”
(Riwayat at-Thabrani)

Ketika membaca risalah ini, aku dapati bahawa Ustad ada mengatakan tentang keadaan bahawa akan sampai satu zaman yang mana ramai menjauhi sunnah Rasulullah. Mereka akan beria-ria mengejar habuan dunia. Dan biarpun mereka berpegang kepada agama, mereka tidak berpegang kepada sunnah Rasulullah s.a.w. Lalu ramai juga ahli dunia ini akan melampau batasan menggunakan syiar agama Allah hingga mengabaikan sunnah rasul-Nya. Aku terfikir, memang benar begitu terjadinya. Ramai sangkakan sunnah Nabi s.a.w. hanya terletak pada perkara seperti sunnah hari Jumaat, cara makan dan beberapa perkara lagi. Walhal sunnah itu amat meluas lagi. Yang terutamanya adalah berkenaan akhlak.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku telah diutuskan bagi menyempurnakan akhlak yang soleh." (Riwayat Ahmad)

Yang al-Ghaib

Bila sebut tentang sunnah, aku terbayangkan hal-hal ghaib. Sebelum ni, aku dah pernah mengarang tentang ghaib kan? Aku terkenangkan pada risalah ku sediri, yakni Warqah 7 . 

Note: Dalam risalah tersebut, aku telah menceritakan sedikit tentang ghaib. Sedikit itu bukan pada 20 daripada 100. Akan tetapi, sedikit itu boleh dilihat sebagai hanya 5 peratus sahaja daripada konsep al-Ghaib; malahan mungkin lebih kecil lagi. Maka, boleh dikatakan juga bahawa ia boleh dilihat sebagai pembuka kepada pemahaman tentang konsep ghaib. Kali ini mungkin juga lebih kurang.. Hanya menaikkan kepada 20% atau masih rendah lagi.

Apabila aku berkata tentang ghaib, ayuh kita lihat pada dua keadaan tentang ghaib dalam sunnah:

1. Definasi sunnah yang ghaib

Sunnah itu adalah juga termasuk dalam hal-hal ghaib. Seperti yang dikatakan, ghaib tidak tidak semestinya  bermakna ia tiada. Ia juga boleh diertikan sebagai bermaksud tidak kelihatan secara zahir. Secara ringkas, ia hanya tidak dapat dilihat atau dinilai dengan mata kepala semata-mata.

Sunnah itu juga adalah sesuatu yang implisit. Kebanyakan manusia melihat sunnah hanya pada yang eksplisit. Namun ramai gagal melihat yang implisit. Mereka mengabaikan sunnah dari sudut adab, yang implisit. Contohnya, cara kehidupan dan berinteraksi dengan yang lain. Begitulah keadaannya diakhir zaman. Ramai mengabaikan sunnah. Lalu khabaran dalam risalah Konsep Sunnah tersebut telah mengingatkanku kepada sebuah hadis yang lain:
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Islam bermula dalam keadaan terasing. Ia akan kembali asing seperti mulanya. Dengan itu, beruntunglah mereka yang terasing." (Riwayat Muslim)

2. Sunnah di akhir zaman

Ustad Al-Nursi telah mengkhabarkan cerita, bagaimana akan sampai masa orang tidak akan mengamalkan sunnah. Malahan, dunia akan jadi terbalik. Mereka yang berpegang kepada sunnah akan dilihat sebagai buruk. Manakala yang buruk akan dilihat sebagai yang baik.

Nabi s.a.w. bersabda: “Siapa yang mengikuti sunnahku di saat umatku rosak, ia akan mendapat pahala seratus orang yang mati syahid.” (Riwayat at-Thabrani) 


Begitulah jawabnya.. Biarpun mengamalkan sunnah, akan dilihat sebagai lemah. Sunnah Nabi s.a.w. terletak pada hadisnya. Kalau kita buat yang baik, orang akan lihat kelakuan kita sebagai pelik. Tapi kalau tak ikut sunnah, orang akan cakap tingkah laku kita akan sebagai 'logik'; kebiasaan dan boleh diterima. Padahal sunnah rasulullah itu adalah suatu kewajipan. Lalu aku teringatkan satu hadis yang lain;
Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang benci akan sunnahku, maka bukan dari kalanganku (yakni bukan umatku).” (Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad & An-Nasa'i)
Benci ini juga membawa erti 'mengingkari' atau 'enggan' mengikuti. Dengan itu, sesiapa yang enggan atau tidak suka mengikuti sunnah Rasulullah, maka ia bukanlah termasuk dalam ahli Sunnah Rasulullah dan tiada jaminan syurga buatnya.

Sebut tentang sunnah Rasulullah, aku terkenangkan pada golongan-golongan yang menggadaikan agama kerana dunia. Rasulullah tidak melarang melakukan hal-hal dunia. Kerana itu terdapat darjat Sunnah Mutawatir. Namun, kerana mengejar habun dunia, mereka menjadi golongan khairil bariyah (menghujahkan dalil-dalil agama) biarpun bergerak atas nama sunnah. Namun, sunnah jauh dari mataku.

Sebagai contohnya, pernah sekali aku terjumpa sebuah page fb yang bergerak atas nama Sunnah. Namun, yang aku lihat hanyalah hamba politik. Menggunakan dalil-dalil Allah demi mengejarkan habuan dunia hinggakan sanggup menggunakan cemuhan menghina pihak yang tidak disukai. Innalillah wa inna ilaihi rojiun.

Ustad Said Nursi menceritakan bahawa semua nabi meluahkan "nafsi..nafsi.." (diriku..diriku..) kerana khuatirkan keadaan diri mereka sendiri. Sebaliknya, Rasulullah meluahkan "ummati..ummati.." (umatku..umatku..). Baginda s.a.w. amat risaukan keadaan umatnya di akhir zaman. Maka sesiapa yang mengikut sunnah Rasulullah dengan benar, ia akan menjauhi sikap memburuk-burukkan orang lain. Sebaliknya ia amalkan sikap memuji sambil diselitkan teguran dalam bentuk kiasan. Malah ia akan mengasihi sesiapa sahaja. Biarpun terhadap musuh, berdoakanlah kebaikan buatnya. Semoga kebaikan itu dapat pada diri sendiri.
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Orang yang berselawat ke atas aku sekali, Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali." (Riwayat Muslim)
Sesiapa yang mendoakan (mengasihi) kebaikan buat orang lain, para penduduk langit akan mendoakan kebaikan (mengasihi) kita.

Oleh kerana itu, mengikut pesanan Ustad Said Nursi, kita harus berpegang kepada sunnah biarpun orang kehairanan merasa pelik melihat sikap kita. Sebaik-baik amalan adalah yang menurut sunnah, dan bukan yang melalui hizbusy-syaitan. Ustad berpesan agar sebaik-baiknya kita menjauhi sebarang perkara yang mendorong kelahiran zindik-zindik kekufuran.

Ustad Said Nursi telah menyeru agar kita berpegang teguh kepada Sunnah Rasulullah walaupun dalam keadaan kacau-bilau penuh kesesatan. Beruntunglah bagi mereka yang berpegang kepada Sunnah Rasulullah dalam keadaan terasing.