02 March 2013

Warkah Iman Ke-17

KONSEP AKHLAK





Sesungguhnya agama adalah nasihat. Berniagalah kamu menjadi mukmin bertakwa.. Hiduplah di dunia bagaikan musafir yang berdagang di jalanan.

[MUQADDIMAH]
Nabi ﷺ bersabda: "Sesungguhnya aku telah diutuskan bagi menyempurnakan akhlak yang soleh." (Riwayat al-Bukhari)

Bila kita sebut tentang akhlak, kebanyakannya pasti akan terbayangkan akhlak dari aspek interaksi sesama manusia. Ia benar. Namun, dalam artikel ini akan dibentangkan konsep akhlak pada sudut yang lebih meluas. Jika kita fahami dengan lebih mendalam, sesungguhnya akhlak ada dua:

  1. Akhlak alamiyah
  2. Akhlak ubudiyah
Pasti ada yang 'blur' kerana mungkin tidak pernah mendengarnya sebelum ini. Aku telah memetik jenis akhlak ini berdasarkan konsep as-Sunnah Rasulullah ﷺ:

  1. Sunnah ubudiyah; sunnahnya dalam amalan ibadat (kaedah wuduk, solat, doa dsb)
  2. Sunnah alamiya; sunnahnya dalam menjalani kehidupan dunia (akhlak, interaksi, komunikasi, amalan kehidupan dsb).

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."
(Surah Al-Mumtahanah 60:8)

Allah telah memerintahkan manusia supaya agar sentiasa memelihara akhlak. Perintah yang muhkamat (jelas) tentang akhlak yang wajib dipelihara telah tertulis dalam Surah al-Hujurat (Tafsir [49] 1-18).

Apa itu? Apa itu akhlak alamiyah dan apa pula akhlak ubudiyah?





[M A B H A S   P E R T A M A: Akhlak alamiyah]

 
"Sesungguhnya mukmin itu adalah bersaudara, maka berdamailah di antara kamu bersaudara; dan bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu dirahmati."
(Surah Al-Hujuraat 49:10)

Apabila saya berkata tetang akhlak alamiyah, ia adalah konsep akhlak yang difahami umum, yakni tentang adab dan sikap serta interaksi yang soleh sesama insan. Muslim adalah yang menjaga hubungan sesama insan dengan baik. Mukmin itu adalah orang yang berakhlak soleh; memelihara kemaluan, lidah dan tangannya, menjauhkan diri daripada kezindikan.

Seperti yang telah diperintahkan dalam Surah al-Hujurat, usahlah kamu berlaku buruk/jahat/zalim sesama kamu. Perliharalah hubungan sesama insan. Antaranya, elakkan memburuk-buruk (memberi gelaran buruk) dan merendah-rendahkan manusia lain.

Firman Allah SWT:
Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Al-Mumtahanah 60:9)




[ M A B H A S   K E D U A : Akhlak Ubudiyyah ]


Dan sesiapa di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amal yang soleh, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia.
(Surah al-Ahzab 33:31)

Sesungguhnya akhlak ini paling penting bagi seorang mukmin. Ia adalah adab (sunnah) kita dalam melakuan sesuatu sesuatu. Akhlak ini adalah berkata tentang akhlaq kita dengan Allah SubhanaHuwaTaala


Nuktah pertama

Sesungguhnya niat itu jiwa amalan. Dan ketentuan suatu amalan adalah dengan pengakhirannya. 

Allah SWT berfirman: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya."
(al-Baqarah 2 : 45-46)

Akhlak ini paling penting sekali. Harus kita memelihara akhlak kepada Allah ketika ibadat. Akan sampai masa orang yang berpuasa dan bersembahyang tetapi tiada punya jiwa ibadat. Yang mereka dapat hanyalah lapar dan dahaga serta satu senaman yoga.

Ayuh merenung: "Apakah aku khusyuk ketika solat? Apakah aku tawaduk ketika sujud? Apa dalam otakku ketika sedang solat? Apakah aku ikhlas ketika mendirikan sembahyang?"

Adakah telah diusahakan memperbetulkan solat?? Dalam satu riwayat lain, Nabi pernah bersabda: "Agama adalah mudah. Tiada siapa pun yang berlebih-lebihan melainkan ia dikalahkan. Perbetulkanlah. Dekatkanlah. Dan bergembiralah. Bantulah dirimu sendiri dengan beramal dari waktu selepas subuh, selepas tergelincir matahari dan sebahagian malam." (HR al-Bukhari)

Nuktah Kedua


Nabi ﷺ bersabda: "Hendaklah engkau beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatNya sesungguhnya Allah sentiasa dapat melihat engkau." (HR Muslim)

Dalam nuktah pertama, telah dikhabarkan tentang jiwa ibadat. Sikap kita ketika ibadat. Akhlak kita kepada Allah. Bagi akhlak ini, ia adalah ke atas akhlak alamiyah; namun tetap memiliki unsur ubudiyah. Dengan kata lain, gabungan akhlak kita dalam kehidupan dunia dan akhlak kita terhadap Allah.

Dalam aspek ini, menegaskan akhlak kita terhadap manusia dan akhlak kita kepada Allah. Sesungguhnya tidak sempurna akhlak seseorang itu kepada Tuhan sehingga ia menyempurnakan akhlaknya terhadap manusia.

Sebelum itu, kita gunakan dulu imaginasi ini:
Fikirkan tentang 'reality show'. Pastinya peserta akan diikuti ke mana . Bayangkan pula jika anda adalah peserta itu. Ketika anda menjalani kehidupan, adakah anda berani membuat perkara yang pelik-pelik (akhlak buruk)? Sudah tentu tidak, kan? Kerana anda tahu ramai sedang memerhatikan.

Sebegitulah juga dalam menjalani kehidupan. Bagi menyempurnakan akhlak dari aspek ubudiyah ini, peliharalah akhlak seolah-olah kamu dapat melihat Allah walaupun kamu tidak dapat. Namun sesungguhnya Allah sentiasa dapat melihatmu.

Ia adalah seolah-olah anda sedang mengadap seorang raja. Ketika dihadapannya, beranikah anda membuang angin atau mengorek hidung dihadapannya?

0 comments:

Post a Comment

Sebelum mula menulis komen, mulakanlah dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang