Assalam. Izinkan aku berkongsi satu pengalaman ku tadi waktu berbuka puasa tadi (16 Ramadan 1434).
Mungkin Sesungguhnya ada banyak jalan akhirat yang boleh digunakan bagi mencapai iman. Antaranya seperti jalan tarekat Nafs as-Sab'ah dan Lataif al-Asyara. Ada satu jalan ikhlas yang ringkas melalui 4 perkara; al-'Ajzu, al-Faqru, at-Tafakkur dan asy-Syafaqah.
Aku tidak bertaqlid pada mana-mana jalan. Tiada sesiapa diwajibkan mengikuti mana-mana jalan. Namun, jika harus diberikan sebarang nama bagi jalanku, aku melihat diriku sebagai "Rider An-Nur", renungan dalam kembara, jalan sendiri berdasarkan ketiga-tiganya. Tadi saya menemui satu perkara dalam kembara ini:
"Pada hari ini, seharusnya aku berbuka puasa di masjid besi, Putrajaya (sedihnya saya tidak tahu apakah nama rasminya [jika ada signboard] selain rupanya). Lalu aku menunggang motorsikalku menuju ke sana. Dalam perjalanan ini, aku telah terlewat untuk pergi ke sana. Hatiku telah bergetar kerisauan. Lalu aku telah tersesat dalam perjalanan. Aku tidak ketahui jalan yang mana harus ku turuti. Aku kerisauan. Lagi 5 minit hampir berbuka puasa dan aku tiada sebarang perkara yang boleh diisi untuk berbuka. Aku kerisauan! Lalu aku membuat keputusan untuk berhenti di sebuah 7-11 dan membeli air. Setelah itu aku menyambung perjalanan.
"Dalam kesesatan ini, aku terdengar azan maghrib tidak ku ketahui lokasinya, dan aku lihat langit telah masuk waktu berbuka. Lalu aku membuat keputusan untuk berhenti di tepi jalan dan minum seteguk dua. Setelah mengisi perut, aku menyambung perjalananku. Merisaukan waktu maghrib, aku merasakan harus berhenti solat dahulu, dan menyambung kemudian. Jiwaku masih berbolak balik kerana seharusnya berbuka di Masjid Besi.
"Lalu aku berjumpa Masjid Dataran Putra. Memang aku ketahui bahawa Masjid Dataran Putra tidak jauh daripada Masjid Besi itu, hanya sehala. Jiwaku masih kerisauan. Meletakkan motorku dan masuk ke masjid dan menunaikan solat. Kedengarannya solat telah dimulakan. Jiwaku meletup. Aku berkejaran mengambil wudu'. Dipendekkan cerita, aku mahu mengikuti jamaah solat; tuan imam memberi salam. "AstaghfirulLahalAzim!", jiwaku meletup. Aku terfikir, "Apakah aku akan hilang 27 darjat amalan ini?" Kemudian aku terlihat ada juga yang baru sampai. Kami membuat keputusan untuk sembahyang berjamaah bersama.
Renunganku:
Seusainya solat tersebut, aku perasan satu perkara: "Alangkah tenangnya jiwaku! Mahu pergi Masjid Besi juga? Wajib untuk aku pergi?" Lalu ku sertai para jamaah lain menjamu selera (telah disediakan oleh pihak masjid). Malahan, aku mendapat pemberian makanan untuk jamuan sahur. "Alhamdulillah.. Semoga mereka mendapat rahmat Allah" Selesainya menjamu selera, pada mulanya aku terfikir mahu menunggu isya' dah tarawikh di sana. Tapi, melihatkan masa, aku terus membuat keputusan untuk pulang. Dan aku terus menuju ke surau berdekat rumahku (tidak singgah di rumah) bagi mendirikan sembahyang isya', dan pulang setelah selesai urusan di surau tersebut. Malahan, aku turut membayar zakat (hari pertama kaunter zakat dibuka).
Aku menunggang motorku dan merenung. Fikiranku: "MasyaAllah! Alangkah tenangnya jiwaku setelah menunaikan solat tadi. Jika tidak, nescaya aku tetap akan kerisauan mahu pergi ke Masjid Besi." - Pasti jiwaku akan berbolak balik. Peristiwa:Apa akan terjadi jika aku tidak berhenti? Nescaya aku akan tergopoh gapah, melanggar segala peraturan jalan. Aku teringatkan Firman Allah Azzawajalla:
- Tersesat,
- Lewat sampai
"Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dan orang sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa." (al-Baqarah 2:21)
Inilah Rider-i Nur, jalan mustaqimku, jalan al-Ihsan.
Ibadat itu ketenangan, kefasikan itu kecelakaan.
Jiwaku bergoncang kerana kesesatan,
Ibadat menenangkan jiwaku.
اللّهم صلي على سيدنا محمد
سبحانك لا علم لنا إلّا ما عالمتنا انك أنت العليم الحكيم

0 comments:
Post a Comment
Sebelum mula menulis komen, mulakanlah dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang