Diriwayatkan dalam sebuah hadis (yang panjang) daripada Umar ibn Al-Khattab r.a. menceritakan:
Jibril a.s. bertanya: “Khabarkan kepadaku tentang ihsan”
Nabi ﷺ menjawab: “Kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihat-Nya, sekiranya kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu.”(Riwayat Muslim)
MAKNAWI AL-IHSAN
Mukaddimah
Sebagaimana namaku adalah "Ihsan", terjemahannya dari bahasa (arab) ia adalah bermaksud "kebaikan" (prihatin). Namun dari sudut syarak, kalimah ini telah membawa kepada penegasan - ihsan kepada Allah. Sebagaimana hadis itu berbunyi "seakan-akan melihat-Nya"; ia menegaskan bahawa, mengasihi Allah hingga ke kalbu. Lalu segala ibadat dilakukan seumpama melihat Allah. Dan ihsan ini takkan ada melainkan wujudnya keikhlasan dalam beribadat. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Aku telah terlihatkan maknawi ihsan pada 3 maqam.
WAJAH PERTAMA
1. Ihsan ibadat
Allah سبحانه وتعالى berfirman:
Maksud: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;" (Surah al-Baqarah 2:45)
Sesungguhnya, hadis sahih di atas secara zahirnya menerangkan tentang ibadat. Atau dalam perkataan lain, ia adalah tentang khusyuk dalam beribadat kepada Allah SWT. Maka, ia menjelaskan bahawa sebaik-baik ibadat adalah dilakukan dengan khusyuk.
Walaupun begitu, adalah sebaik-baiknya ibadat dilakukan dengan ikhlas. Apakah dapat mencapai khusyuk tanpa keikhlasan? Ya, khusyuk adalah harus seiringan dengan keikhlasan. Dan ia dapat dicapai melalui ihsan, ihsan pada Allah. Ihsan ini terhasil apabila kita beribadat seolah-olah dapat melihat Allah walaupun hakikatnya tidak dapat melihatNya. Atau lebih jelas, ia seolah-olah kita merasakan Allah berada disebelah sedang memerhatikan.
Aku membayang hakikat ihsan ini (dalam ibadat) melalui imaginasi berikut:
Seorang yang petugas di kilang. Ia bekerja dengan bertungkus lumus kerana mengetahui bahawa supervisor yang sedang memerhatikannya, ia juga lebih bertungkus lumus kerana ia dapat melihat supervisor yang sedang bertugas.Lalu aku membayangkan hakikat iman ini melalui keadaan seperti ini. Ia adalah seperti jika supervisor telah digantikan dengan kamera litar. Kita mengetahui bahawa bos sedang memerhatikan kerana wujudnya kamera litar itu. Seperti mana sebuah kedai yang mempunyai kamera. Orang tidak berani mencuri kerana mereka tahu bahawa wujudnya sebuah kamera litar yang sedang merekod pergerakannya.
Kita kembalikan hal ini dalam hal ibadat; kepada hakikat iman. Kita beribadat kerana tahu Allah Azzawajalla sedang memerhatikan kita, dan Malaikat Raqib & Atid sedang mencatit perbuatan kita. Dan ketika beribadat, kita beribadat solat, puasa dan sebagainya dengan khusyuk kerana tahu Allah SWT sedang memerhatikan.
2. Amal perbuatan
Adalah diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa Nabi ﷺ pernah menyatakan bahawa agama itu adalah akhlak yang baik/soleh. Dalam hal akhlak, ia sering dikaitkan dengan lidah, tangan dan nafsu. Maka, seorang yang berakhlak adalah yang memelihara lidah, tangan dan nafsunya, dan nafsu itu termasuk amarah.
Sebagaimana diriwayatkan dalam sebuah hadis oleh Syeikh al-Fudhail; ada seorang wanita yang selalu berpuasa dan bertahajjud. Ini melihatkan sifat yang baik. Akan tetapi, akhlaknya adalah buruk; selalu mengganggu jiran tetangganya dengan lidahnya. Maka, Rasulullah ﷺ bersabda: "Tidak ada sedikitpun kebaikan padanya. Ia adalah penghuni neraka." - Perkara yang paling berat diletakkan diatas neraca mizan adalah akhlak yang baik.
Dikaitkan dengan ihsan, seseorang harus memelihara akhlaknya, yakni memelihara lidah dan perbuatan serta tingkahlakunya seolah-olah dapat melihat Allah; sekiranya tidak dapat melihat Allah, sesungguhnya Allah dapat melihat manusia. Disinilah seperti yang dinyatakan dalam Konsep Akhlak.

Ihsan dan ikhlas harus seiringan seumpama kembar siam yang tidak harus berputus. Bak kata pepatah, "Umpama aur dan tebing. Bagaikan isi dan kuku."
WAJAH KEDUA
Kita lihat maksud kalimah ihsan dari bahasa arab. Secara zahirnya, ihsan bermaksud baik. Atau lebih terperinci, membawa kepada maksud amal baik, kebajikan, dan keprihatinan.
Dalam wajah ini, ihsan menjurus kepada sifat dermawan, keikhlasan, kebaktian dan kesukarelawanan. Dikhabarkan dalam satu kisah, putera Lukman al-Hakim bertanya kepada ayahnya: "Wahai ayahku, hal apakah yang paling baik untuk manusia?" Lukman menjawab, "Agama" Kemudian si anak bertanya lagi, dua, tiga, empat dan lima. Pada soalan kelima, si anak bertanya: "Kalau lima?" Dan Lukman menjawab, "Agama, harta, rasa malu, akhlak yang baik dan kedermawanan."
Seseorang pernah berkata: "Sesiapa yang buruk akhlaknya, sesungguhnya ia telah menjadi zalim. Dengan zalim ini, ia menganiayai dirinya sendiri."
Lima perkara yang dikatakan diatas adalah berkenaan lima hal ada dalam diri manusia. Sesungguhnya ihsan juga adalah merangkumi lima perkara ini. Atau ringkasannya adalah, keihsanan itu menjurus kepada sifat dermawan dan akhlak yang baik. Ihsan juga tentang pertalian yang baik sesama insan. Secara umumnya, ihsan adalah dilengkapkan dengan akhlak yang soleh dan sifat kebajikan.
Sesungguhnya nafsu manusia tidak mampu dipuaskan dengan harta semata, maka sempurnakanlah manusia dengan akhlak yang soleh dan wajah yang cerah.

0 comments:
Post a Comment
Sebelum mula menulis komen, mulakanlah dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang