23 November 2012

Bagi Kamu Adalah Cara Kamu

أعوذ بكلمات الله التامة من كل شيطان و من شرما خلق 


..Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.(Al-Baqarah 2:286)

AstaghfiruLlahal 'Azhiim.. Sesuatu yang baru telah melanda rohani ku. Peristiwa tersebut telah merobak kalbuku dan memukul belakang kepalaku.


Secara jujurnya, aku amat khuatirkan pada keburukan. Bukan keburukan pada yang lain. Tapi aku takut jika kejahatan yang ada dalam kalbuku akan membinasakan diriku sendiri, lalu membawa keburukan pada yang lain.

Penat aku berfikir; Bagamanakah harusku letakkannya ke dalam bentuk perkataan yang mudah difahami??Tak dapat juga aku temui.. Lalu aku buat keputusan untuk teruskan menaip. Insya Allah dipermudahkan sepanjang menaip.

Dengan nama Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


“Sesiapa meninggalkan perbalahan, sedang dia berada di pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dua tiga hari lepas, aku telah melakukan kezaliman ke atas diriku. Aku telah melakukan sesuatu buruk yang tidak harus aku lakukan. Aku telah melakukan sesuatu yang bodoh. Tidak seharusnya aku melakukannya. Aku telah melakukan sesuatu yang membawa kepada perbalahan.

Memang benar niat aku baik. Pada ketika itu, aku hanya berniat untuk menegur akhlak seseorang. Namun, barangkali aku tidak menggunakan kalimah yang sesuai dalam komunikasi. 

Lalu apabila pergi ke usrah madrasah hayrat pada semalam, aku dicerahkan dengan kalimah ini.

"Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku." (al-Kafiruun [109] : 6)

Aku telah dimaklumkan bahawa biarpun kalimah 'diin' membawa maksud 'Agama' dari segi terjemahan kamus, namun ia juga membawa maksud adat. Aku juga telah dicerahkan bahawa adat adalah juga boleh dimaksudkan dengan agama. Dan adat juga boleh bermaksud 'amalan'.

Dengan pencerahan ini, barangkali sepatutnya aku mendiamkan diri setiap kali bertemu perkara seperti ini. Aku harus berterima kasih kepada Ustaz Hasrizal Jamil diatas tegurannya. Pada mulanya, memang telah aku lakukan sebuah penghargaan di atas tegurannya. Namun, terpaksa aku tarik semula kata-kataku kerana merasakan bahawa kata-kata tersebut mampu mengeruhkan lagi keadaan.

Berikut perkara tersebut, aku telah tersentap. Mengeluh bukan kerana sikap akhlak individu tersebut. Tetapi mengeluh ke atas diriku yang membiarkan nafsu amarahku berkeliaran.

Wahai diriku yang lemah dan bernafsu! Jika benar engkau mahu menjadi kuat, resapkanlah iman ke dalam kalbumu. Sesungguhnya kekuatan sebenar bukanlah pada kemahiranmu bertarung atau kehandalanmu dalam mengendalikan komputer atau kemahiran bertarung. Akan tetapi, beringatlah engkau! Sesungguhnya kegagahan hakiki hanya akan muncul apabila engkau mengawal nafsumu dan amarahmu. Dan jika benar engkau beriman pada Allah dan Hari Kiamat, sentiasalah harus berkata dengan baik atau mendiamkan diri.

Bermula dari saat itu, aku telah membuat keputusan untuk mendiamkan diri. Dengan itu, aku mengisytiharkan:
Bermula saat ini, ZUL IKHSAN YUSOF akan mendiamkan diri setiap kali melihat sesuatu seperti itu. 
 Biarpun aku melihat kekufuran berlaku, aku akan mendiamkan diri. Aku harus beringat bahawa, adalah menjadi adat nafsu manusia memikirkan bahawa ia adalah lebih baik daripada yang lain. Pemikiran bahawa manusia lain adalah lebih lemah berbandingnya. Zindik-zindik kufur yang melahirkan zarah-zarah kesombongan tanpa kesedaran.

Wahai diriku yang hina, usahlah engkau biarkan zindik-zindik kekufuran ini lahir dalam dirimu sendiri. Beringatlah bahawa kebanyakan manusia mempunyai pegangan mereka tersendiri. Biarlah apapun yang engkau lakukan, tidak akan dapat mengubah pemikiran mereka. Berpalinglah daripada kedegilan mereka. Cara mereka adalah cara mereka. Dan pemikiran mereka adalah pemikiran mereka. Usahlah engkau paksa pemikiranmu pada mereka.

Ya nafsii. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun. Jika benar engkau mengasihi semua manusia, jauhkanlah mereka daripada keburukan. Tinggalkan mereka daripada kejahatan kecil dalam dirimu. Jauhkanlah zindik-zindik kekufuran, buruk yang merosakkan rohani dari kalbumu. Aku bertaubat.


أستغفر الله العظيم
 الّذي لا اله إلّا هو الحيّ القيوم وأتوب إليه