23 November 2012

Surat buat Suami-Isteri

Dengan nama Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Berikut adalah perasaanku berkenaan peristiwa fitnah yang melandaku pada 23hb November 2012, pada jam 9-10 pagi, memang banyak yang aku boleh kongsi. Aku boleh membiarkan nafsu amarahku mengawalku. Namun, aku tetap cuba untuk mengawal perasaan daripada dijangkiti penyakit ananiyah ini. Hati kecilku berharap agar salah seorang ataupun kedua-dua mereka akan membaca artikel ini.

Hmm.. mungkin panggilan 'si suami' agak janggal. Mari kita berikan nama. Apa kata kita berikan nama 'Mat' (bukan nama sebenar)? Isteri pula.. Hmm.. Apa kata kita panggil.. hmm.. 'Azimah' (bukan nama sebenar)?

Aku bertawakal kepada Allah segala ketentuan diriku dan aku berlindung dengan Allah daripada segala keburukan dan kejahatan yang telah diciptakan...

Bermula saat panggilan daripada si suami, aku telah membuat janji pada si suami bahawa aku akan memutuskan segala macam perhubungan dengan isterinya yang ia cintai.

Secara jujurnya, perasan ku lahir bercabang-cabang dan bermacam-macam rupa.

Berikutan peristiwa tersebut, memang jelas aku pasti menipu jika aku katakan bahawa aku tidak merasa sebarang perasaan. Ya! Sudah tentu aku marah.. Marah pada kedua-duanya. Tapi alhamdulillah aku dapat mengawal perasaanku. Aku merenung melalui akal fikiranku. Seboleh-bolehnya aku mahu mengelakkan merosakkan hubungan mereka.

Melihatkan Allah telah menjatuhkan ujian ini padaku, aku cuba sedaya-upaya untuk bersabar. Namun, aku risaukan hubungan rumahtangga mereka. Berikut adalah pesanan/perkara yang inginku sampaikan.

Nuktah Pertama, Suami:

Sesiapapun pasti marah apabila 'dipukul curi' sebegitu rupa. Sesiapapun akan geram pada sesiapa yang menggunakan bahasa yang agak 'keras', berbahasa seolah-olah aku mahu merosakkan rumahtangganya. Padahal aku tidak tahu langsung isterinya sudahpun bersuami. 

Pernah sekali aku bertanya akan hal ini pada Azimah. Ia tidak pula menyebutkan status perkahwinannya. Aku sudah terbayangkan akan perkara seperti ini kerana aku amat tidak suka menghubungi isteri sesiapapun melainkan suaminya tahu maklum akan hal sebegini. Mahu mengkaji lagi? Bagaimanakah harus ku kaji lagi? Aku bukanlah jenis 'stalker' yang rohaninya amat rosak hingga mengkaji sampai ke lubang cacing. Dan bagaimana pula harus aku mengkaji jika beza jarak adalah hingga beratus-ratus batu jaraknya? Tambahan pula, memang bukan pada fitrahku. Bukanlah satu tabiat yang sihat jika seseorang itu mengorek segala rahsia tentang seseorang. Setiap manusia biasa pasti akan ada sesuatu yang ia tidak gemar diketahui ramai. Kerana itu, aku tidak menjadikan ia sebagai tabiatku.

Namun aku tetap kecewa melihat pada kalimah-kalimahnya yang jauh daripada seorang yang berkata mengggunakan akal bijak. Ia telah membiarkan nafsu amarahnya mengawal dirinya. Tidak menerima langsung kata-kataku yang kebingungan kehairanan dalam tidak mengetahui tentang hubungan mereka.

Aku tiada larangan pada sesiapa yang mahu cemburu. Cemburu itu tanda kasih sayang. Namun, elakkanlah cemburu buta. Usahlah biarkan nafsu ini mengawal diri. Itulah dayus hakiki.


Nuktah Kedua, Buat Isteri:

Sejujurnya aku memang jahil tentang dirinya. Namun aku tetap melakukan sedaya yang kumampu bagi mengelakkan perkara sebegini daripada berlaku.

Wahai Azimah (bukan nama sebenar)! Wahai Azimah, memang benar saya marah. Namun saya marah bukan semata mata kerana kamu menipuku. Saya lebih marah kerana kamu telah membelakangi suamimu. Itu bukanlah sifat seorang isteri yang solehah. Bersikap sebegini tidak jauh daripada sifat seorang isteri yang nusyuz (derhaka).

"..Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya." (Surah an-Nisa [4] : 34)

Kewajipan seorang isteri bukan hanya pada keadaan apabila suamimu tiada di rumah. Haruslah juga kamu menjaga kehormatanmu ketika berada di mana-mana sahaja; samada rumah, kedai ataupun internet. Usahlah kamu berlagak seolah-olah masih belum bernikah. Itulah nusyuz maknawi. Nusyuz maknawi adalah apabila seorang isteri tidak memelihara kehormatannya sebagai seorang isteri dan tidak memelihara kehormatan suaminya. Saya terpaksa menyebelahi suamimu dalam hal ini.

Beringatlah! Syurga seorang isteri letaknya di celah kedua-dua kaki suami.


Penutup

Dalam hal ini, saya terpaksa menyokong dan marah pada kedua-duanya. Pada satu sudut adalah pada lidah dan kemaluan (nafsu); ia tidak mengawal lidahnya sebagai seorang muslim. Dan sudut kedua adalah pada akal rohaniyah. Memang haram bagiku menghubungi si isteri jika tidak dibenarkan oleh suami. Jika dibenarkan pun, aku tetap akan beringat bahawa ia adalah seorang wanita dan juga isteri orang lain. Haram untuk menghubungi isteri sesiapa.

Biar apa pun ugutan ia berikan, tidaklah ku geruni berikutan hubunganku dengan pihak berkuasa dan berbagai-bagai lagi. Malahan, aku lebih merindukan kematian. Namun, apakah ia terlupa? Jika ia tetap melakukan suatu yang buruk padaku, apakah ia sudah tidak lagi menyayangi isteri, anak-anak dan kerabat keluarganya?

Yang sebenarnya, aku paling takutkan pada Maha Berkuasa, pada ketentuan-Nya. Aku tidak mahu dihadapkan di hadapan Arasy Allah sebagai seorang yang bermaksiat.

Sekali lagi saya ulangi: Saya amat benci pada amalan yang merosakkan hubungan kekeluargaan. Tidak diampun dosa pemutus hubungan.  Allah paling benci pada kekerasan, pemutus silaturrahim dan penceraian. Saya tetap berharap agar mereka tetap berbahagia hingga ke syurga. Aku mendoakan kebahagiaan mereka sekeluarga. Amiiin..~

Dengan itu, saya akhiri warkah ini dengan ucapan salam.
Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.